Menurut Normaliza Abd Rahim (2014) dalam Noraien Mansor & Normaliza
Abd Rahim (2019), terdapat 10 cara menulis blog dengan baik telah disenaraikan
di dalam buku yang bertajuk “Eh!!! Media Sosial”. Satu daripada cara tersebut
ialah tajuk yang menarik boleh menarik perhatian pembaca. Hal ini demikian
kerana, tajuk merupakan salah satu perkara yang sangat penting bagi menarik
perhatian pembaca. Apabila sesebuah tajuk itu menarik, ia dapat menarik pembaca
untuk meneruskan pembacaan. Oleh itu, sebagai penulis, mereka hendaklah menghasilkan
tajuk-tajuk yang unik.
Selain itu, cara kedua ialah cerita menarik yang dapat menarik hati
pembaca. Cara ini menunjukkan bahawa sesebuah cerita tersebut hendaklah
mempunyai jalan cerita yang menarik supaya pembaca tertarik untuk membacanya. Oleh
itu, unsur-unsur lawak, sedih, gembira haruslah seimbang dalam menghasilkan
jalan cerita yang menarik. Hasil gabungan elemen tersebut pasti dapat menarik
hati pembaca.
Di samping itu, cara ketiga ialah memasukkan ayat yang humor dan
berbentuk jenaka untuk membuatnya lebih menarik. Hal ini demikian kerana,
apabila terdapat unsur humor dalam sesebuah cerita, pembaca tidak akan bosan
untuk meneruskan pembacaan. Malah, unsur humor juga dapat membantu pembaca
menghilangkan stress dan mampu membuat pembaca gelak apabila membaca cerita
tersebut.
Seterusnya cara keempat ialah memastikan terdapat hujah terbaik
untuk menghuraikan penulisan anda. Hal ini demikian kerana, dapat menarik
kepercayaan pembaca terhadap sesebuah penulisan yang mempunyai hujah yang betul
dan tepat. Apabila hujan yang diberikan baik dan tepat, pembaca tidak akan
ragu-ragu untuk mempercayai penulisan yang dihasilkan malah pembaca boleh jadikan
penulisan tersebut sebagai satu rujukan.
Cara yang kelima adalah kaitkan penulisan anda dengan berita
terkini. Penulis hendaklah menghasilkan penulisan tentang info terkini supaya pembaca
dapat mengetahui isu semasa yang sedang terjadi. Sebagai contoh, penulis boleh
menulis tentang fenomena jerebu yang sedang berlaku. Penulisan tersebut bukan
sahaja dapat menambahkan ilmu pembaca malah dapat menyuruh pembaca supaya
berhati-hati secara tidak langsung.
Selain itu juga, cara keenam ialah gunakan perkataan dan struktur
ayat yang ringkas. Dalam penulisan blog, penulis hendaklah menggunakan
perkataan dan struktur ayat yang ringkas supaya penulisan tersebut tidak
terlampau panjang yang mampu membuat pembaca bosan untuk membaca. Penulis harus
menggunakan perkataan dan struktur yang ringkas tetapi menarik dan mampu
menarik perhatian pembaca.
Cara yang ketujuh adalah dapat dibaca dan difahami. Penulis hendaklah
menghasilkan penulisan yang mampu dibaca dan fahami oleh pembaca. Oleh itu,
tujuan sesebuah penulisan tersebut hendaklah jelas supaya pembaca dapat
memahami apa yang dibaca oleh mereka. Malah, penulis juga hendaklah memfokuskan
tentang sesuatu perkara dalam sesebuah penulisan supaya pembaca memahami isi
kandungan penulisan tersebut.
Di samping itu juga, cara yang kelapan adalah dapat berkomunikasi
dengan pembaca. Sebagai penulis yang mahir dan bijak, penulis hendaklah
menghasilkan penulisan yang mampu membuat pembaca seakan-akan sedang
berkomunikasi dengan pembaca. Hal ini kerana, pembaca akan lebih tertarik untuk
mengetahui perkara yang ditulis dalam blog tersebut dan membuat pembaca lebih
faham dengan pembacaan mereka.
Seterusnya cara yang kesembilan ialah masukkan moral dan nilai
estetika dalam penulisan anda. Penulis yang bijak akan memasukkan unsur moral
dan estetika dalam penulisan supaya pembaca akan dapat mempelajari unsur
keindahan dan unsur pengajaran. Hal ini kerana, penulis bukan sahaja menulis
tetapi dapat mengajar pembaca tentang ilmu keindahan dan pengajaran yang boleh
diteladani.
Cara yang terakhir adalah cara yang kesepuluh iaitu berilmu untuk
penulisan pendidikan. Penulisan yang baik adalah penulisan yang mengandungi
unsur-unsur pendidikan. Hal ini kerana, apabila penulis menghasilkan penulisan
tentang ilmu yang berkaitan pendidikan, secara tidak langsung membantu pembaca
yang bergelar pelajar mendapatkan ilmu dan info-info tentang pendidikan. Malah,
pembaca juga dapat meningkatkan pengetahuan mereka.
No comments:
Post a Comment